GOMBAK, 22 APRIL: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa melawat ke gerai Lemang U-turn yang diusahakan pasangan suami isteri di Batu 7, Jalan Gombak di sini, malam tadi.
Dato’ Seri Amirudin Shari tidak melepaskan peluang mencuba sendiri cara-cara menghasilkan lemang dengan memasukkan beras pulut dan santan ke dalam buluh.
Sepanjang proses pembuatan lemang itu, Amirudin dibantu pengusaha gerai berkenaan Mohd Fadzly Izahar dan isterinya Rosmaria Ibrahim.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menziarahi bekas pemain bolasepak Khalid Ali di Keramat, Gombak pada 21 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
Terdahulu, Amirudin melawat legenda bola sepak negara Khalid Ali yang disahkan menghidap barah paru-paru tahap 3A di kediamannya di AU4 Keramat di sini.
Sebelum itu, Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak meluangkan malam Aidilfitri dengan bertakbir raya bersama kira-kira 100 jemaah Surau At-Tarbiah, Fasa 4, Taman Melawati di sini.
Dato Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari bersama jemaah surau bertakbir raya selepas menunaikan solat Isyak di Surau At Tarbiah,Taman Melawati pada 20 April 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI








