ad
AGENDA

Syawal: Sultan seru gandakan sedekah, elak fitnah dan buruk sangka

21 Apr 2023, 1:20 PM
Syawal: Sultan seru gandakan sedekah, elak fitnah dan buruk sangka

SHAH ALAM, 21 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru rakyat agar menggandakan sedekah kepada golongan memerlukan terutama di bulan Syawal.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin juga berpesan agar rakyat teruskan berkata-kata dan menulis perkara yang baik-baik sahaja, elakkan fitnah dan buruk sangka.

"Baginda juga mengingatkan umat Islam untuk mengekalkan silaturahim lebih-lebih lagi dengan suasana Syawal yang penuh dengan tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjung. Sesungguhnya amalan ini harus diteruskan.

"Baginda turut berkenan menasihatkan umat Islam khususnya yang pulang ke kampung halaman agar memandu dengan berhemah dan berhati-hati di jalan raya," menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook hari ini.

Baginda berdua juga berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat di Selangor.

"Semoga Syawal yang menyusuli pemergian Ramadan ini dapat disambut dengan kegembiraan sejati. Selamat Hari Raya Aidilfitri," menurut kenyataan itu lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.