ad
EXCO

Kerajaan Negeri belanja lebih RM5 juta bangun infrastruktur Kampung Koskan

19 Apr 2023, 3:18 PM
Kerajaan Negeri belanja lebih RM5 juta bangun infrastruktur Kampung Koskan

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 19 APRIL: Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM5.102 juta bagi membangunkan kemudahan infrastruktur sebuah kawasan perumahan terbengkalai sejak lebih 20 tahun lalu di Kampung Koskan, Serendah.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata kemudahan yang dibangunkan ialah jalan bertar, saliran, retikulasi pembentungan (tangki septik individu), bekalan air dan elektrik, lampu jalan serta padang permainan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan pemulihan infrastruktur projek ini dengan menggunakan peruntukan Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (Tepat) pada 24 Julai 2019.

“Kita menerusi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) melantik Perunding Tetuan RE Consultant Sdn Bhd pada 1 September 2020 dan kontraktor Hijrah Perkasa Construction Sdn Bhd pada 16 Mei 2022 bagi laksanakan kerja-kerja tersebut.

“Kontraktor mulakan kerja di tapak berkenaan pada 16 Mei tahun lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya akhir bulan depan,” katanya ketika melawat tapak projek pembesaran kampung berkenaan petang tadi.

Menurut beliau, projek terbabit gagal disiapkan selepas kontraktor dilantik iaitu Tetuan Ehsan Ibu Sdn Bhd diisytihar muflis pada 17 Oktober 2012.

Susulan itu, bermula 2014, pelbagai usaha dilaksana Kerajaan Negeri menerusi beberapa siri mesyuarat bersama pejabat daerah, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan wakil pembeli bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Projek Pembesaran Kampung Koskan yang bermula pada tahun 2000 bagaimanapun berjalan lancar pada dua tahun pertama sahaja.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.