ad
AGENDA

Mayat dipercayai anggota tentera ditemukan di Hutan Simpan Belum

12 Apr 2023, 9:15 AM
Mayat dipercayai anggota tentera ditemukan di Hutan Simpan Belum

IPOH, 12 APRIL: Polis hari ini menjumpai mayat dipercayai anggota tentera daripada Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang yang hilang ketika menjalankan tugas operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 7 April lepas menemukan satu mayat dipercayai anggota tentera berkenaan pada 10.15 pagi tadi.

Mohd Yusri berkata mayat terbabit dibawa ke Hospital Gerik bagi proses bedah siasat.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Mohd Yusri dilaporkan berkata hasil siasatan awal polis mendapati kejadian kehilangan itu  berlaku pada 5 petang Jumaat lepas semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan berkenaan. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.