SHAH ALAM, 10 APRIL: Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay) memeterai usaha sama dengan Sunway Money Sdn Bhd (Sunway Money) bagi membangunkan sistem perkhidmatan pindahan wang antarabangsa.
Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu bakal menyaksikan Sunway Money menjadi penyedia perkhidmatan tersebut menerusi aplikasi e-dompet yang dikendali Wavpay, syarikat milikan Kerajaan Negeri.
“Ia juga akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama mengembangkan lagi industri teknologi kewangan dan mencipta lebih banyak peluang pendigitalan.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosi dan memajukan pendigitalan serta ekonomi digital,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan pertukaran dokumen antara Wavpay dan Sunway Money di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, EXCO Pelaburan Teng Chang Kim dan Presiden Sunway Group Tan Sri Chew Chee Kin.
Amirudin menambah sasaran pengguna adalah usahawan yang mempunyai urusan perniagaan antarabangsa, pelajar luar negara serta pekerja warga asing.
Jelasnya semua transaksi boleh dilaksanakan selama 24 jam dan penerima akan menerima wang dalam tempoh yang singkat berbanding transaksi perbankan biasa.
“Jabatan perangkaan merekodkan seramai 2.41 juta pekerja warga asing di Malaysia. Ia dijangka memberi manfaat kepada mereka selain memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.
Sebelum ini, Wavpay turut memeterai memorandum persefahaman bersama AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral) bagi melaksanakan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).