ad
BERITA UTAMA

Menu Rahmah sedia hidangan seimbang, bantu siswa berjimat

10 Apr 2023, 6:00 AM
Menu Rahmah sedia hidangan seimbang, bantu siswa berjimat
Menu Rahmah sedia hidangan seimbang, bantu siswa berjimat
Menu Rahmah sedia hidangan seimbang, bantu siswa berjimat

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 10 APRIL: Rata-rata mahasiswa gembira dengan pengenalan Menu Rahmah, hidangan seimbang untuk tengah hari dan malam berharga pada atau kurang RM5.

Inisiatif tersebut melegakan berikutan mereka tidak lagi dihimpit kebimbangan terhadap isu harga mahal jika membeli juadah di bazar Ramadan.

Usaha itu juga akan diperluas ke 20 institusi pengajian tinggi di Lembah Klang melalui inisiatif Kafe Rahmah selepas Aidilfitri. Kafe itu menawarkan makan tengah hari percuma manakala potongan 50 peratus untuk sarapan dan makan malam.

Tinjauan di Shah Alam mendapati Menu Rahmah menjadi pilihan pelajar atas faktor enak, murah dan bermutu. Inisiatif itu membantu mereka menampung kenaikan harga makanan selepas era Covid-19.

[caption id="attachment_576178" align="aligncenter" width="699"] Menu Rahmah yang ditawarkan Restoran Deli THAI Seksyen 7, Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Hidangan tersebut mengandungi nasi, satu sumber protein sama ada ayam atau ikan serta sayuran.

Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN) itu digerakkan pengusaha kedai makan dan persatuan restoran secara sukarela tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.

Sambutan hangat

Sejak diperkenal pada 31 Januari, Menu Rahmah mendapat sambutan hangat orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, lebih 15,000 restoran menyediakan menu sedemikian di premis masing-masing.

Di Selangor, pelancaran menu tersebut dibuat pada 3 Mac. Semakan di laman sesawang kementerian itu menurahmah.kpdn.gov.my setakat 3 April mendapati 244 premis menawarkan inisiatif berkenaan.

Menu itu sebahagian inisiatif bawah Payung Rahmah yang turut meliputi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah.

Kementerian Pengajian Tinggi juga memperkenal Menu Siswa Rahmah bernilai RM3.50 untuk satu hidangan bermula pada 16 Mac di 20 universiti awam dan politeknik seluruh negara. Seramai 320,000 mahasiswa daripada keluarga B40 mendapat manfaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut pernah merasa sendiri hidangan itu di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 17 Mac.

Berikut reaksi beberapa mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 21 Mac berkaitan Menu Rahmah, dua hari sebelum Ramadan.

“Harga makanan di sini berpatutan, sedap dan kualitinya bagus untuk kenyang. Harga makan sesuai untuk pelajar. Kalau dalam UiTM, macam ni dah RM6 atau RM7. Yang ini sekali dengan air.”

-Muhammad Aminuddin Saidin, 22, siswa Fakulti Alam Bina

“Makan dekat sini bolehlah, sedap dan murah. Boleh tolong pelajar berjimat. Sekarang ni kos hidup semakin tinggi. Harap diteruskan dalam Ramadan, sebab boleh tolong pelajar.”

-Fatin Syafiqah Anwar, 23, siswi Fakulti Kejuruteraan Awam

“Ramai pelajar makan (Menu Rahmah) sebab jimat. Sangat berbaloi dan sedap. Saya selalu datang ke sini untuk makan sebab harga murah. Ia sesuai untuk B40 sebab harga barang banyak naik. Saya cari makanan yang murah-murah semasa bulan puasa.”

-Muhammad Nur Hadi Md Yusof, 24, siswa Fakulti Sains Sukan

“Kalau dekat sini dapat harga murah, air boleh ulang tambah. Kalau di UiTM Seri Iskandar, nasi macam ini boleh dapat RM2.50, tapi di sini RM6. Jauh beza harga dia. Kalau belanja sehari di sana bawah RM10 sehari, tapi kalau di sini RM9 sekali makan.”

-Muhammad Aizat Ma’amor, 22, siswa Fakulti Alam Bina

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.