ad
AGENDA

Tumpahan minyak akibat kemalangan, tindakan pantas LUAS elak loji terjejas

1 Apr 2023, 9:36 AM
Tumpahan minyak akibat kemalangan, tindakan pantas LUAS elak loji terjejas
Tumpahan minyak akibat kemalangan, tindakan pantas LUAS elak loji terjejas

SHAH ALAM, 1 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengawal tumpahan minyak akibat kemalangan di Lebuhraya Elite sekitar Bandar Serenia, Sepang, awal pagi tadi.

Agensi itu memaklumkan kemalangan membabitkan lori itu mengakibatkan tumpahan minyak yang berisiko masuk ke dalam saliran longkang dan sungai, sekali gus menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi.

“LUAS telah bergegas ke lokasi untuk membuat semakan bagi memastikan tindakan awal pencegahan dapat diambil dan memastikan tiada sisa minyak yang masuk ke sungai,” katanya di Facebook hari ini.

[caption id="attachment_574706" align="aligncenter" width="437"] Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengawal tumpahan minyak akibat kemalangan membabitkan lori di Lebuhraya Elite sekitar Bandar Serenia, Sepang, pada 1 April 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor[/caption]

Menurut LUAS, semakan mendapati tiada kesan tumpahan minyak masuk ke dalam saliran berhampiran selain pihak lebuhraya telah menabur serbuk kayu di sekeliling lori bagi menyerap tumpahan minyak.

Jelasnya, LUAS akan terus memantau keadaan di lokasi sehingga semua kerja pembersihan dan pengalihan selesai bagi memastikan tiada gangguan kepada operasi LRA.

“LUAS dan pihak-pihak berwajib sentiasa komited tidak kira waktu bagi memastikan kesinambungan bekalan air mentah kepada loji dan seterusnya bekalan air terawat kepada pengguna,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.