ad
AGENSI

UPPS jelajah pusat komuniti desa bimbing penganggur mohon kerja

30 Mac 2023, 5:07 AM
UPPS jelajah pusat komuniti desa bimbing penganggur mohon kerja

SHAH ALAM, 30 MAC: Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) merancang menjelajah ke pusat komuniti desa (PKD) seluruh negeri bagi membimbing penganggur di kawasan luar bandar memohon pekerjaan.

Ketua penyelarasnya berkata inisiatif dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Sumber Manusia dibuat selepas mengesan kebanyakan daripada mereka tidak tahu cara memohon kerja.

“Susulan itu, kami rancang bekerjasama dengan kementerian terbabit untuk jelajah ke PKD dan salur penempatan kerja kepada golongan berkenaan.

“Bagaimanapun perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dan akan dimuktamad sebaik selesai (perbincangan),” kata S Vijayan ketika dihubungi.

Melalui jelajah itu, beliau berkata pihaknya akan memberi taklimat selain memperkenal platform JobCare kepada penganggur.

“Kita ada platform program dan peserta boleh memohon atau melihat peluang kerja yang ada di kawasan berdekatan tempat tinggal.

“Pada masa sama, kita akan promosikan Jelajah Jobcare yang akan dianjurkan tahun ini selain menggalakkan penyertaan daripada mereka,” katanya.

Ditubuhkan pada 8 September 2021, UPPS berperanan membantu individu di Selangor yang hilang pekerjaan semasa pandemik Covid-19 untuk mendapatkan kembali pekerjaan sesuai bagi menempuh kehidupan mendatang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.