ad
PBT

MBSA wujud kawasan mesra warga emas, tingkat keselamatan bandar

30 Mac 2023, 3:56 AM
MBSA wujud kawasan mesra warga emas, tingkat keselamatan bandar
MBSA wujud kawasan mesra warga emas, tingkat keselamatan bandar

SHAH ALAM, 30 MAC: Mewujudkan kawasan mesra warga emas dan tambahan kamera litar tertutup (CCTV) antara tumpuan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam mencapai matlamat bandar pintar 2023-2030.

Datuk Bandar Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata pihaknya bercadang membangunkan 'age city' iaitu kawasan bagi warga emas beriadah atau melakukan terapi.

"Mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pertambahan penduduk di Shah Alam lebih 800,000 dan jumlah populasi warga tua 65 tahun ke atas meningkat sehingga tujuh ke lapan peratus pada 2020.

"Justeru, menerusi bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 kita akan mewujudkan kawasan mesra kepada warga emas ini yang mungkin berkaitan dengan mikromobiliti," katanya.

[caption id="attachment_574232" align="alignleft" width="500"] Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berucap pada bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA pada 29 Mac 2023. Foto Facebook MBSA[/caption]

Beliau berkata demikian pada sidang media Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA semalam. Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Dr Nor Fuad menjelaskan penambahan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tertentu juga akan dibuat sebagai langkah keselamatan dalam mencapai ke arah bandar pintar.

"Setakat ini kita ada hampir 200 CCTV yang mana 60 diberi Kerajaan Negeri manakala 100 lagi inisiatif MBSA. Semua kamera ini diselia oleh Smart Selangor Command Centre dan Balai Polis Bukit Aman," katanya.

Terdahulu, MBSA menganjurkan Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 selama dua hari bermula semalam bagi membincang strategi dan garis panduan untuk mencapai bandar pintar.

Inisiatif MBSA itu bertujuan mendapat input dan informasi daripada peserta bagi melengkapkan pelan ke arah bandar pintar secara berperingkat dan sistematik, menyediakan platform kerjasama dengan pihak berkepentingan dan rakan strategik.

Bengkel disertai 150 peserta daripada kakitangan MBSA dan agensi luar antaranya seperti Smart Selangor Delivery Unit, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Koridor Utiliti Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.