ad
AGENDA

Usahawan muflis berkurangan kepada 5,695 tahun lalu

28 Mac 2023, 7:26 AM
Usahawan muflis berkurangan kepada 5,695 tahun lalu

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Jumlah kes muflis yang direkodkan pada tahun lepas menurun kepada 5,695 berbanding 6,554 kes pada 2021, kata Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Menurutnya, ia susulan pindaan peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang menaikkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000.

“Sebagai usaha membantu mengurangkan kadar muflis dalam kalangan usahawan, kerajaan telah memperkenalkan Perkiraan Sukarela (Voluntary Arrangement) dalam Akta 360 yang berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

“Penghutang boleh memohon perintah interim daripada mahkamah untuk penggantungan prosiding kebankrapan sementara rundingan diadakan antara penghutang dengan pemiutang berhubung pelan cadangan bayaran balik hutang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai langkah jangka panjang bagi mengurangkan kadar muflis dalam kalangan usahawan Bumiputera serta meningkatkan kemampanan golongan terbabit.

Ewon berkata pada masa sama, Jabatan Insolvensi (MdI) melaksanakan program seperti MdL Prihatin dan penyebaran maklumat di media sosial untuk mewujudkan kesedaran masyarakat berhubung isu muflis.

Bermula 1 Mac lepas, beliau berkata kerajaan melaksanakan inisiatif untuk melepaskan individu muflis bagi kategori hutang berskala kecil iaitu jumlah tuntutan hutang yang diperakukan dengan jumlah RM500,000 dan ke bawah dengan bersyarat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.