ad
ADN

100 penduduk B40 Bandar Utama terima bantuan makanan dengan mesin layan diri

27 Mac 2023, 7:54 AM
100 penduduk B40 Bandar Utama terima bantuan makanan dengan mesin layan diri
100 penduduk B40 Bandar Utama terima bantuan makanan dengan mesin layan diri

OLEH DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 27 MAC: Seramai 100 penduduk berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama bakal menerima manfaat bantuan makanan menerusi mesin layan diri (vending machine).

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata menerusi projek perintis itu golongan sasar akan menerima bantuan bulanan berjumlah RM100 yang akan dikreditkan dalam akaun e-dompet mereka.

“Selepas penerima dikenal pasti kita aktifkan akaun e-dompet dan bantuan berjumlah RM100 dikreditkan ke dalam akaun dan kod pin dihantar menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon mereka.

“Penerima boleh menggunakan wang itu untuk mendapatkan barangan di mesin layan diri pada bila-bila masa dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh luput.

“Kredit yang tidak digunakan akan disalurkan dalam akaun e-dompet kumpulan penerima berikutnya jadi tidak berlaku pembaziran kerana bantuan itu tidak tersekat dalam akaun penerima,” katanya.

[caption id="attachment_573783" align="alignright" width="350"] Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas melancarkan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Jamaliah bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran mesin layan diri bantuan makanan bagi golongan B40 di Pangsapuri Kayu Ara, Bandar Utama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek dilaksana dengan kerjasama Allegra itu menyediakan 19 produk makanan antaranya minyak masak, sardin tin, serbuk kari, cili kering dan minuman.

“Kita turut sediakan 45 produk penjagaan diri dan ubat-ubatan seperti ubat batuk, ubat gigi, sabun mandi dan tuala wanita dalam dua mesin layan diri ditempatkan di sini.

“Kita harap projek ini berjaya membantu golongan sasar menerusi konsep baharu saluran bantuan dengan memudahkan penerima untuk dapatkan barang keperluan pada bila-bila masa kerana mesin layan diri ini beroperasi 24 jam sehari,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.