Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 24 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan bantuan RM7,800 kepada 26 anak yatim di Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (RAYSAS) Pantai Kundor, Melaka semalam.
Selain menyerahkan RM300 setiap seorang, Tengku Amir Shah turut menyampaikan sumbangan kain pelikat dan 100 kilogram beras untuk rumah kebajikan terbabit.
"Program anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) adalah atas perkenan Baginda sendiri yang hampir saban tahun berangkat menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang tinggal di RAYSAS," kata Selangor Royal Office di Facebook.
Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah disambut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) Datuk Wira Md Rawi Mahmud, Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor dan Setiausaha Maim Muhammad Ikram Ibrahim.
[caption id="attachment_573230" align="alignnone" width="742"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan 100 kilogram beras untuk Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (RAYSAS) Pantai Kundor, Melaka pada 23 Mac 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]
Menerusi kenyataan, Yide menambah program itu adalah yang pertama selepas hampir tiga tahun pihaknya tidak mengunjungi rumah anak yatim berkenaan berikutan penularan Covid-19.
“Meskipun tiga tahun dapat hadir namun kebajikan anak-anak yatim di sini tetap terpelihara. Pihak Yide tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab menyalurkan sumbangan Hari Raya menerusi transaksi dalam talian ketika negara dilanda Covid-19.
“Yide menjungjung setinggi-tinggi kasih kepada DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri dan menyantuni anak-anak yatim.
"Ia jelas menujukkan keperibadian Baginda Tuanku amat mudah didekati rakyat jelata dari pelbagai peringkat umur,” katanya.