ad
AGENDA

Zii Jia tersingkir di separuh akhir Kejohanan All England

19 Mac 2023, 12:55 AM
Zii Jia tersingkir di separuh akhir Kejohanan All England

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Harapan Lee Zii Jia untuk menamatkan kemarau kejuaraan dimusnahkan oleh Shi Yu Qi dari China dalam separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2023 malam tadi.

Perseorangan nombor empat dunia itu, kini dalam misi menebus prestasi tidak konsistennya, berdepan satu lagi kekalahan selepas tewas 19-21, 13-21 kepada Shi selepas 43 minit bertarung di Utilita Arena, Birmingham.

Juara All England 2021 itu memberi tentangan sengit pada set pertama namun gagal menyaingi Shi, yang merupakan pemenang perak Kejohanan Dunia 2018, pada set kedua, sekali gus terlepas peluang untuk membawa permainan ke rubber set.

Ini adalah kekalahan keempat daripada lima perlawanan Zii Jia berdepan pemain nombor 12 dunia itu, justeru menamatkan cabaran Malaysia di All England.

Zii Jia melangkah ke separuh akhir kejohanan Super 1000 itu dengan mengetepikan pemain Jepun Kodai Naraoka manakala Shi menewaskan rakan senegara Weng Hong Yang. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.