ad
PBT

MBPJ teruskan geran komuniti Petaling Jaya mampan, tawar biaya hingga RM50,000

17 Mac 2023, 6:44 AM
MBPJ teruskan geran komuniti Petaling Jaya mampan, tawar biaya hingga RM50,000

OLEH SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 17 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan (PJ SEED) 5.0 pada tahun ini dengan pembiayaan minima RM5,000 hingga RM50,000.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata inisiatif tersebut bertujuan merancang dan melaksanakan projek untuk meningkatkan prestasi dalam 10 bidang utama menerusi penyertaan masyarakat, rakan perkongsian dan inklusif menuju Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030.

"Geran yang julung kali diadakan pada 2019 itu sehingga kini meluluskan 113 projek dengan peruntukan RM1.9 juta diberikan kepada organisasi terpilih.

"Tahun kelima ini kita kekalkan pelaksanaan projek mengikut 10 bidang ditetapkan dan hanya yang layak akan mendapat bantuan geran," kata Mohamad Azhan Md Amir selepas melancarkan geran tersebut di ibu pejabat MBPJ di sini hari ini.

Bidang disenaraikan adalah Bandar Rendah Karbon, Pekeliling Ekonomi, Bandar Selamat dan Berdaya Tahan, Bandar Inklusif serta Bandar Mesra Kanak-kanak.

Ia termasuk Bandar Pembelajaran, Bandar Ekonomi Segar, Bandar Masyarakat 5.0 serta Bandar Pintar dan Bandar Tadbir Urus Digital.

Permohonan geran terbuka kepada persatuan penduduk, rukun tetangga, majlis pengurusan komuniti kampung, badan pengurusan bersama, perbadanan bersama, persatuan ibu bapa dan guru, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, tempat ibadat serta badan/organisasi bukan kerajaan berdaftar.

Mohamad Azhan menambah sejumlah RM700,000 diperuntukkan tahun ini, justeru beliau mempelawa semua pihak yang berminat untuk mengemukakan permohonan.

Borang permohonan boleh dimuat turun bermula 17 Mac di laman sesawang www.mbpj.gov.my atau di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ, Tingkat 20, Menara MBPJ. Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 Jun.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi urusetia PJ SEED di talian 03-79541440 atau emel [email protected] dan layari Facebook @petalingjayacitycouncil atau Twitter dan Instagram @pjcitycouncil

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.