ad
AGENSI

LZS salur dana RM1.02 juta bantu Yide tampung kos pusat dialisis

16 Mac 2023, 3:00 PM
LZS salur dana RM1.02 juta bantu Yide tampung kos pusat dialisis

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalur dana berjumlah RM1.02 juta kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dalam menyediakan rawatan dialisis.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata peruntukan dalam bentuk geran tahunan itu juga bertujuan menampung kos pengoperasian, pengurusan dan pentadbiran pusat dialisis sejak 2016.

“Pihak LZS memperuntuk RM100 juta bagi bantuan perubatan dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM60 juta disalurkan bagi bantuan rawatan dialisis secara keseluruhan.

“Kita sedia maklum kos bagi rawatan dialisis bukan sedikit. Kos rawatan pesakit dialisis menerusi kaedah cucian darah (HD) berjumlah RM2,940 seorang manakala cucian air (CAPD) pula RM2,600 dan cucian air (APD) berjumlah RM3,900,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sijil akreditasi Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) kepada pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) cawangan Bukit Jelutong di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di sini hari ini.

Majlis dihadiri Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail. Turut hadir Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MSQH Profesor Dato’ Dr Abdul Rahim Abdullah.

Tambah Mohd Sabirin, seramai 2,179 pesakit yang memerlukan rawatan dialisis dibantu LZS setiap tahun.

“Dianggarkan setiap tahun pihak kita juga terima kira-kira 300 pesakit dialisis baharu,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.