ad
AGENSI

Pusat dialisis Mais penuhi piawaian kualiti perkhidmatan dan keselamatan penjagaan kesihatan

16 Mac 2023, 6:55 AM
Pusat dialisis Mais penuhi piawaian kualiti perkhidmatan dan keselamatan penjagaan kesihatan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjadi majlis agama Islam pertama yang mengendalikan pusat dialisis menerima pengiktirafan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) di negara ini.

Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata perakuan itu berikutan Pusat Dialisis Mais cawangan Bukit Jelutong yang dikawal selia pihaknya menerima akreditasi penuh bagi tempoh empat tahun daripada badan terbabit.

“Pengiktirafan ini adalah permulaan pusat dialisis Mais mencapai Pelan Strategik Yide 2021 hingga 2025 dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan tambah nilai perkhidmatan dialisis.

“Ia juga perakuan dalam mencapai serta penuhi piawaian kualiti perkhidmatan dan keselamatan penjagaan kesihatan khususnya di negeri ini,” kata Tan Sri Mazlan Mansor.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sijil akreditasi MSQH kepada pusat dialisis Mais cawangan Bukit Jelutong di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di sini, hari ini.

Mazlan berkata pengiktirafan yang diterima membuktikan Yide sentiasa komited memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit yang menerima rawatan di pusat dialisis Mais kelolaannya.

“Lebih membanggakan pusat dialisis Mais cawangan Bukit Jelutong adalah pusat dialisis kelima daripada 175 pusat dialisis di Selangor yang menerima pengiktirafan ini.

“InsyaAllah selepas ini pusat dialisis Mais cawangan Taman Melati juga akan memohon sijil akreditasi itu diikuti empat lagi pusat dialisis yang dikendalikan agensi ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.