ad
AGENDA

PM ucap tahniah Michelle Yeoh menang Oscar, harum nama negara

13 Mac 2023, 9:15 AM
PM ucap tahniah Michelle Yeoh menang Oscar, harum nama negara

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 13 MAC: Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada bintang Hollywood kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh yang memenangi Anugerah Oscar ke-95.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian sebagai pelakon wanita terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan.

Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia!” katanya menerusi Facebook.

Michelle muncul sebagai pelakon pertama dari Asia memenangi anugerah berprestij itu. Sejak awal tahun ini, beliau diangkat sebagai pelakon wanita terbaik bagi anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild.

Selain dianugerah filem terbaik, Everything Everywhere All at Once turut memenangi kategori pengarah terbaik, pelakon pembantu wanita dan lelaki terbaik, lakon layar asal terbaik, dan suntingan terbaik.

Michelle yang memegang watak sebagai pemilik kedai dobi Evelyn, menewaskan tiga pencabar bagi kategori pelakon wanita terbaik – Cate Blanchet (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.