ad
AGENDA

RM29,500 belanja naik taraf pentas, dewan SRA Kampung Medan 2

12 Mac 2023, 8:34 AM
RM29,500 belanja naik taraf pentas, dewan SRA Kampung Medan 2

PETALING JAYA,12 MAC: Dato’ Menteri Besar meninjau pentas utama Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan 2 yang kini selesai dinaik taraf menggunakan peruntukan RM500,000 Projek Selangor Penyayang.

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato' Johary Anuar, Pegawai Daerah Petaling Dato Mohd Jusni Hashim dibawa melihat pentas utama dan lantai dewan yang dibaik pulih.

Pengetua SRA Kampung Medan 2, Zairani Yaacob berkata ruangan pentas utama berkenaan asalnya daripada kayu dan sudah reput sehingga mengancam keselamatan murid dan guru selain sukar mengadakan sebarang aktiviti.

“Naik taraf dan baik pulih ruangan itu memperuntuk kos berjumlah RM29,500. Permohonan dibuat kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan mudah dan cepat.

"Kerja naik taraf hanya sebulan sahaja iaitu bermula pada 3 November tahun lalu dan siap sepenuhnya 3 Disember.

“Mewakili pihak sekolah, sudah pasti kami berasa gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri. Ia beri impak kerana dapat anjur peperiksaan dan pelbagai aktiviti sekolah,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2023, Amirudin mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.