ad
ADN

506 keluarga DUN Taman Templer terima bantuan bulanan RM300

10 Mac 2023, 7:22 AM
506 keluarga DUN Taman Templer terima bantuan bulanan RM300

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 10 MAC: Sebanyak 506 keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menerima bantuan bulanan RM300 melalui skim Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer Rosli Kamaruddin berkata bantuan diagih secara berperingkat bermula Julai tahun lalu dan terbaharu pada Januari lepas.

"Kesemua 506 keluarga itu dipilih daripada 1,530 keluarga yang membuat permohonan sejak Jun tahun lepas hingga awal tahun ini.

"Kita harap Kerajaan Negeri dapat menambah kuota penerima Bingkas tahun ini kerana masih ramai keluarga yang memerlukan bantuan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rosli antara kriteria pemohon yang diberi keutamaan ialah pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan mempunyai bilangan anak yang ramai serta masih bersekolah selain tidak menerima bantuan bulanan lain daripada agensi Kerajaan Negeri dan pusat.

Bingkas adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun diagih menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.