ad
AGENSI

Sidang halal sasar 8,000 pengunjung, UK dan Kanada ambil bahagian

9 Mac 2023, 5:50 AM
Sidang halal sasar 8,000 pengunjung, UK dan Kanada ambil bahagian

SHAH ALAM, 9 MAC: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 yang akan membuka tirai esok menyasar kehadiran lebih 8,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Muhammad Syaril Showkat Ali berkata acara edisi kedua itu turut menghimpunkan kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata negara yang akan mengambil bahagian termasuk Bangladesh, yang akan membuka reruai di bahagian ekspo, selain Australia, United Kingdom, Thailand, Vietnam dan Kanada.

“Selhac kali ini juga menampilkan tiga komponen utama iaitu forum dan seminar, ekspo, serta padanan perniagaan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut menjangka kluster padanan perniagaan antara yang bakal mendapat perhatian, yang menyasar nilai transaksi sebanyak RM50 juta, berbanding RM37.8 juta tahun lalu.

Muhammad Syaril menjelaskan jangkaan itu berdasarkan kedudukan negara yang memiliki potensi pasaran halal yang tinggi, selain jaringan ekosistem produk terbaik.

“Sebenarnya potensi perniagaan halal ini dijangka mencecah sehingga USD5 trilion pada 2025. Ia ada nilai pasaran yang tinggi ketika ini di peringkat antarabangsa.

“Sebab itu kita anjurkan acara ini supaya kita dapat himpunkan semua pemain industri dalam satu tempat dan menghidupkan satu ekosistem halal di rantau ini,” katanya.

Selhac yang mengangkat tema ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.