ad
AGENDA

Garis panduan laluan kenderaan mikromobiliti dimuktamadkan, Shah Alam jadi lokasi pengujian

8 Mac 2023, 5:52 AM
Garis panduan laluan kenderaan mikromobiliti dimuktamadkan, Shah Alam jadi lokasi pengujian

SHAH ALAM, 8 MAC: Shah Alam menjadi lokasi pilihan untuk pengujian garis panduan kenderaan jenis mikromobiliti, kata timbalan menteri pengangkutan.

Datuk Hasbi Habibollah berkata garis panduan yang dimuktamadkan itu adalah perancangan untuk laluan kenderaan mikromobiliti dengan memberi fokus kepada elemen keperluan infrastruktur dan kemudahan sokongan lain.

"Penggunaan kenderaan mikromobiliti tanpa sebarang kawalan dan infrastruktur sangat berisiko kerana trafik bercampur dan perbezaan had laju.

"Menyedari perkara ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui PLANMalaysia memuktamadkan garis panduan untuk kenderaan mikromobiliti.

"Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada jabatan dan agensi persekutuan, pihak berkuasa negeri dan berkepentingan dalam merancang serta mereka bentuk laluan kenderaan mikromobiliti di kawasan pembangunan sedia ada atau baharu," katanya.

Beliau sebelum itu menjawab soalan wakil rakyat Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi berkata Shah Alam menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi lokasi pilihan pengujian atau sandbox bagi menguji pakai semua garis panduan pada 12 Mac ini.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sedang merangka keperluan spesifikasi atau program penilaian keselamatan berhubung kenderaan mikromobiliti.

"Miros juga akan melihat kepentingan untuk mewujudkan satu piawaian atau standard kenderaan mikromobiliti bagi menjamin keselamatan pengguna," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.