ad
ADN

DUN Ijok cipta kelainan, edar bubur kacang dan mi ketika Ramadan

7 Mac 2023, 3:35 AM
DUN Ijok cipta kelainan, edar bubur kacang dan mi ketika Ramadan

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 7 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok merancang mengedarkan bubur kacang dan pelbagai makanan lain sebagai pengisian program sepanjang Ramadan.

Pegawai khas wakil rakyat berkata pihaknya mencipta kelainan tahun ini memandangkan setiap kali Ramadan ramai pihak mengagihkan bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa.

“Maklum balas yang kita terima daripada pihak pengurusan masjid banyak bubur lambuk terbuang kerana orang ramai tak mahu mengambilnya.

“Untuk elak pembaziran tahun ini kita rancang edar bubur kacang, mi atau nasi berlauk sepanjang bulan puasa kepada penduduk di DUN Ijok,” kata Azli Hussin pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN ITU di Masjid Nurul Iman semalam.

Azli menjelaskan lambakan bubur lambuk terjadi kerana juadah itu diedarkan di banyak lokasi setiap hari sepanjang Ramadan.

“Kos sekawah bubur lambuk boleh cecah RM1,500, akan jadi pembaziran jika orang ramai tak ambil, hanya terbuang begitu sahaja sedangkan banyak benda lain kita boleh buat dengan peruntukan itu.

“Sebab itu kita tampilkan kelainan tahun ini dengan edarkan bubur kacang dan menu lain untuk juadah berbuka puasa,” katanya memaklumkan pihaknya menyediakan dana sehingga RM3,000 bagi penyediaan juadah tersebut.

Beliau menambah edaran juadah berbuka puasa itu akan diadakan setiap dua minggu sekali di semua kawasan dalam DUN terbabit.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.