Oleh Azian Aziz
AMPANG JAYA, 5 MAC: Badan pengurusan bersama (JMB) Pangsapuri Cemara 1 dan 2 Taman Bukit Segar di sini, bersyukur perumahan tersebut terpilih dinaik taraf menerusi Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni (SDGs11) Negeri Selangor.
Pengerusinya Ismail Hashim berkata peruntukan RM160,000 untuk menambah baik pelbagai kemudahan seperti taman permainan serta ruang untuk beriadah memberi keselesaan kepada 1,400 penghuni di 492 unit rumah.
[caption id="attachment_569931" align="alignleft" width="302"] Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Cemara Ismail Hashim. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
"Dengan siapnya projek ini penduduk serta anak-anak mereka boleh beriadah dan bermain dengan selesa.Tidak payah pergi jauh-jauh.
"Lampu jalan di kawasan pangsapuri pun sudah semakin terang, jalan dah elok berturap dan ada palang keselamatan untuk elak daripada penceroboh. Terima kasih Kerajaan Negeri dan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya),’’ katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian SDGs11 yang disempurnakan EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail.
Mengulas lanjut, Ismail berharap pada masa depan, Kerajaan Negeri dapat menyalur peruntukan menaik taraf lif dan mengecat bangunan pangsapuri.
Terdahulu, Rodziah berkata sebanyak 12 pangsapuri kos rendah dan sederhana dipilih untuk dinaik taraf kemudahan melalui SDGs11 Negeri Selangor tahun ini.
Beliau memaklumkan pemilihan pangsapuri akan dicadangkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk menjayakan program tersebut.
[caption id="attachment_569935" align="aligncenter" width="500"] EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail (tengah) beramah mesra bersama Kanak-Kanak yang menggunakan taman permainan yang ditambah baik menerusi Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni (SDGs11) Negeri Selangor di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]