ad
PBT

MPK arah empat premis kotor, tiada suntikan antidemam kepialu ditutup 14 hari

27 Feb 2023, 5:10 AM
MPK arah empat premis kotor, tiada suntikan antidemam kepialu ditutup 14 hari

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 27 FEB: Empat daripada 20 premis makanan diarah tutup 14 hari dalam operasi kebersihan premis makanan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 21 dan 22 Februari lalu.

Pengarah Komunikasi Korporatnya berkata menerusi operasi sekitar Bukit Tinggi dan Klang Utara itu pengusaha dikenakan tindakan berikutan melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 62 (1)b Establismen Makanan MPK 2007.

“Sebanyak 15 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tandas, peti sejuk dan dapur kotor serta tiada perangkap minyak.

"Premis turut dikompaun kerana pekerja tiada suntikan antidemam kepialu, perniagaan tanpa lesen sah selain membuang sisa makanan ke dalam longkang," kata Norfiza Mahfiz menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai selain mencegah berlaku kes keracunan makanan.

Norfiza menjelaskan pengusaha berdepan tindakan penutupan premis selama 14 hari di bawah Akta Makanan 1983 sekiranya terdapat kesan hurungan tikus dan lipas serta pengusaha dan pengendali tidak mengamalkan kebersihan diri.

“Orang ramai harus peka dengan tahap kebersihan premis mereka kunjungi dan operasi ini bukti betapa isu kebersihan sentiasa dalam perhatian MPK.

“MPK juga tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kebersihan kerana melibatkan nyawa orang ramai dan pengusaha perlu peka dengan kebersihan kedai mereka,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.