ad
AGENDA

Tanah runtuh Batang Kali: Negeri sedia dedah laporan kepada waris

26 Feb 2023, 11:00 AM
Tanah runtuh Batang Kali: Negeri sedia dedah laporan kepada waris

HULU LANGAT, 26 FEB: Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan laporan berkaitan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali kepada waris mangsa.

Bagaimanapun, Datuk Menteri Besar berkata pihaknya hanya akan mendedahkan laporan disediakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) itu sekiranya menerima permintaan daripada pihak berkaitan.

“Kalau ada permohonan (hasil laporan) kita boleh keluarkan secara bertulis. Tapi ini saya rasa secara khususnya.

“Insya-Allah, saya akan bawakan dalam mesyuarat EXCO terdekat (untuk) kenal pasti di mana punca kuasa. Dalam minggu depan saya akan beri maklum balas,” kata Dato' Seri Amirudin Shari mengulas permintaan waris tragedi itu yang menuntut laporan kejadian didedahkan segera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.