ad
AGENDA

Menteri: Sasar liputan 5G capai 80 peratus menjelang akhir tahun

26 Feb 2023, 8:23 AM
Menteri: Sasar liputan 5G capai 80 peratus menjelang akhir tahun

PETALING JAYA, 26 FEB: Kerajaan menyasarkan pelaksanaan rangkaian 5G mencapai liputan hingga 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara menjelang hujung tahun ini dengan tawaran harga berpatutan.

Menteri komunikasi dan digital berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama syarikat Digital Nasional Bhd (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan semua syarikat telekomunikasi tempatan menerusi pertemuan semalam.

Menurut Fahmi Fadzil, bagaimanapun pihaknya sedang berbincang untuk kekal atau menukar model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelaksanaan perkhidmatan dan infrastruktur 5G sebelum hujung Mac.

"Berdasarkan kepada pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan bercadang akan umum hala tuju pelaksanaan 5G sebelum hujung Mac dan semua syarikat telekomunikasi menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut.

"Saya percaya dalam beberapa hari dan minggu akan datang, kita akan dapat capai kata putus sama ada kekal dengan SWN atau tidak serta apakah bentuk hubungan antara DNB dengan syarikat telekomunikasi," kata ketua penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan KEADILAN Selangor di Hotel TH di sini hari ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.