ad
AGENDA

PM: Insentif RM45 juta untuk majikan gaji graduan khususnya TVET

25 Feb 2023, 2:45 AM
PM: Insentif RM45 juta untuk majikan gaji graduan khususnya TVET

SHAH ALAM, 25 FEB: Sejumlah RM45 juta disediakan untuk insentif kepada majikan yang menggaji graduan khususnya dari bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri merangkap menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 menjelaskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif RM600 sebulan selama tiga bulan kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya TVET sebagai tambahan kepada gaji ditawarkan.

"Perkeso juga menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga RM600 sebulan untuk tempoh sama," katanya.

Anwar berkata sejumlah RM40 juta disediakan untuk manfaat 30,000 pekerja gig.

"Kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran kelayakan mikro sehingga RM4,000.

"Perkeso juga menyediakan elaun RM300 untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan," katanya.

Menurut Anwar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan turut menawarkan 35,000 peluang kerjaya kepada belia, graduan TVET, kumpulan rentan dan veteran.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.