ad
AGENSI

4,000 terima manfaat jualan murah, 14 program lagi menanti di Pandan Indah

24 Feb 2023, 12:25 AM
4,000 terima manfaat jualan murah, 14 program lagi menanti di Pandan Indah
4,000 terima manfaat jualan murah, 14 program lagi menanti di Pandan Indah

Oleh AZIAN AZIZ

CHERAS, 24 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mengatur 14 program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) lagi untuk penduduk sepanjang Mac depan.

Pengurus PKM DUN Pandan Indah Nariza Zain berkata program dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu akan dijalankan purata tiga kali seminggu.

"Kita cuba memenuhi permintaan penduduk untuk mengadakan lebih banyak program jualan murah. Semoga segala diatur dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan (B40).

"Sebelum ini ia telah memberi manfaat kepada 4,000 keluarga di sini," katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru semalam.

[caption id="attachment_568191" align="alignright" width="350"] Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah Nariza Zain. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Menurut Nariza, sejak Januari lalu hingga kini, pihaknya telah menjalankan tujuh program dan berbaki satu lagi pada 28 Februari di Cheras Indah.

"Sepanjang tempoh tersebut sambutan diterima menggalakkan dengan setiap program dihadiri purata 500 orang," jelasnya.

Jualan murah bermula 10 pagi hingga 1 petang menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian PKPS itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan pada September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.