ad
AGENSI

Zakat Selangor sasar kutipan RM1.2 bilion tahun ini

21 Feb 2023, 5:48 AM
Zakat Selangor sasar kutipan RM1.2 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 21 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan RM1.2 bilion kutipan zakat tahun ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sasaran itu didorong kajian dalaman pihaknya berdasarkan bilangan pengeluar zakat di Selangor.

“Tahun ini kutipan yang disasarkan adalah RM1.2 bilion meningkat kira-kira RM100 juta daripada sasaran tahun lepas iaitu RM1.05 bilion.

“Peningkatan (kutipan) yang disasarkan (berdasarkan) kepada bilangan pengeluar zakat. Mengikut kajian dalaman LZS menganggarkan potensi pengeluar zakat yang layak sekitar satu juta.

“Buat masa ini pengeluar zakat di Selangor yang menunaikan tanggungjawab berjumlah 395,000 atau sekitar 40 peratus,” katanya.

Beliau ditemui selepas program simbolik Bantuan Pendidikan Sekolah LZS 2023 yang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Seramai 67,798 pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan keluarga asnaf menerima bantuan persekolahan LZS tahun ini membabitkan peruntukan RM32.6 juta.

Mohd Sarbini berkata pencapaian kutipan zakat tahun lalu dijangka meningkat lapan peratus berbanding RM993 juta pada 2021 dan perincian mengenainya akan diumumkan nanti.

“Untuk data yang sempurna kami akan maklumkan selepas pengesahan daripada pihak yang berkaitan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.