ad
AGENSI

Taman Eko Tenaga Hijau Selangor di Rawang dijangka siap akhir 2025

20 Feb 2023, 12:00 PM
Taman Eko Tenaga Hijau Selangor di Rawang dijangka siap akhir 2025

SHAH ALAM, 20 FEB: Pembangunan projek Taman Eko Tenaga Hijau Selangor atas tanah seluas 245 ekar di Rawang dijangka siap sepenuhnya akhir 2025.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata pihaknya dalam fasa menyelesaikan isu pengambilalihan tanah sebelum projek bagi mengurangkan sisa buangan di tapak pelupusan dimulakan.

Dato’ Ramli Mohd Tahir menjelaskan penggunaan tanah di kawasan terbabit sudah dipersetujui akhir tahun lepas, dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan bertindak sebagai pemegang taruh.

“Jika kertas cadangan (pengambilan tanah) cepat dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, maka cepatlah proses ini selesai,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga dalam proses lantikan perunding untuk menjalankan penilaian dampak alam sekitar (EIA) selain kajian penyiasatan tanah.

“Kita juga sedang buat reka bentuk projek yang membabitkan empat fasa iaitu sisa kepada tenaga (WTE) 2,400 tan sisa sehari, jadual loji sisa, WTE 1,000 tan metrik dan solar panel.

“Selain itu kita juga dalam proses memohon fi tarif daripada kerajaan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya lagi.

Pada 25 November lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana RM4.5 bilion bagi pelaburan dan pembangunan prasarana untuk berkenaan melalui KDEBWM.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek Taman Eko Tenaga Hijau Selangor dijangka mempercepat penggunaan teknologi moden dalam menangani isu pelupusan sampah berikutan tapak sedia ada tidak dapat menampung sisa yang dijana pada masa hadapan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.