ad
AGENDA

MB ucap selamat menduduki SPM, doakan calon peroleh kejayaan cemerlang

20 Feb 2023, 2:17 AM
MB ucap selamat menduduki SPM, doakan calon peroleh kejayaan cemerlang

SHAH ALAM, 20 FEB: Dato’ Menteri Besar mendoakan semua calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 hari ini beroleh kejayaan yang cemerlang.

Menerusi hantaran di Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari menitipkan pesanan agar calon lakukan yang terbaik setelah penat lelah membuat persediaan.

“Selamat menduduki peperiksaan SPM bagi para pelajar sekolah-sekolah di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

“Lakukan yang terbaik setelah penat lelah bersiap sedia. Semoga beroleh kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Amirudin turut berharap Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan portal eptrs.my yang disediakan Kerajaan Negeri dapat membantu mempersiapkan pelajar dan tenaga pengajar Selangor menghadapi peperiksaan penting ini buat masa depan mereka.

Lebih 25,000 pelajar menerima manfaat PTRS tahun lalu selepas inisiatif diperluas kepada pelajar sekolah rendah.

Selain bantuan kelas tambahan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut membiayai kos makan tengah hari untuk keselesaan pelajar.

Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 yang bermula hari ini hingga 15 Mac, melibatkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.