ad
AGENDA

Sindiket curi kereta mewah sasar pusat jualan, bengkel kenderaan tumpas

18 Feb 2023, 3:00 AM
Sindiket curi kereta mewah sasar pusat jualan, bengkel kenderaan tumpas

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah selepas menahan 14 individu termasuk dalang utama dalam serbuan baru-baru ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 11 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan bersama lima kenderaan mewah yang dicuri.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan pusat jualan dan bengkel kereta, valet parking serta kedai cuci kereta untuk mencuri kenderaan mewah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya pekerja kedai terbabit untuk menyerahkan kunci sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.

“Sindiket ini juga dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa kenderaan dicuri ke Thailand melalui sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata pihaknya menerima 14 laporan berhubung aktiviti sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.