ad
ADN

Hampir 7,000 penduduk Pelabuhan Klang terima manfaat program jualan murah

12 Feb 2023, 8:34 AM
Hampir 7,000 penduduk Pelabuhan Klang terima manfaat program jualan murah

KLANG, 12 FEB: Hampir 7,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima manfaat menerusi program Jualan Ehsan Rakyat (JER), kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri berkata program jualan murah itu sentiasa mendapat sambutan daripada penduduk kerana tawaran harga berpatutan berbanding di pasaran.

"Program ini telah diadakan di 14 lokasi berasingan sekitar DUN Pelabuhan Klang sejak Oktober tahun lalu dan memanfaatkan hampir 7,000 penduduk daripada golongan berpendapatan rendah termasuk kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

"Maklum balas diterima daripada penduduk ialah mereka berterima kasih dan berharap Kerajaan Negeri dapat teruskan program kerana harga jualan barangan asas murah tidak seperti di pasaran," katanya ditemui pada program jualan murah di Lebuh Samudera 1, Laguna Park, Pulau Indah hari ini.

Pada masa sama, Azmizam memaklumkan pihaknya juga menerima permintaan daripada penduduk di luar kawasan DUN tersebut supaya membawa program itu di sekitar kediaman mereka.

"Sejak persempadanan semula ada sesetengah kawasan dikecilkan dan dibesarkan, begitu juga DUN Pelabuhan Klang. Mungkin kawasan itu, terletak di Pelabuhan Klang tetapi di bawah DUN Sentosa atau Pandamaran.

"Bagaimanapun, saya yakin program ini memanfaatkan semua dan tiada yang tercicir. Saya juga tidak menghalang penduduk di DUN lain untuk datang membeli sekiranya program diadakan di kawasan Pelabuhan Klang," katanya.

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.