ad
AGENDA

Anwar: Tekad politik penting untuk tamat konflik selatan Thailand

10 Feb 2023, 1:38 PM
Anwar: Tekad politik penting untuk tamat konflik selatan Thailand

BANGKOK, 10 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa tekad politik penting untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

Beliau berkata ketika mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha telah menunjukkan isyarat positif dalam usaha membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand.

“Kerajaan Malaysia dan Thailand telah melakukan apa diperlukan untuk mewujudkan keamanan berkekalan di selatan Thailand.

Mereka (Kerajaan Thailand) sedia untuk bekerjasama dan menyelesaikan konflik ini. Mereka mempelawa kita sebagai fasilitator  dan berbincang dengan kita. Ini satu petanda positif,”  katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Thailand hari ini.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di selatan Thailand.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Jan 2023.

Ditanya bahawa terdapat cadangan bahawa Malaysia harus memainkan peranan sebagai orang tengah, Anwar berkata Thailand dan Malaysia telah setuju bahawa Malaysia harus memainkan peranan sebagai  fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand.

“Yang penting, kita harus ada tekad politik untuk menyelesaikannya (konflik di selatan),” katanya.

Ditanya mengenai rundingan damai yang sedang diadakan, Anwar mengakui ia akan mengambil masa dan tidak boleh diselesaikan dengan mengadakan satu atau dua mesyuarat sahaja.

“Jangan ingat satu atau dua mesyuarat sudah boleh selesai. Pelbagai perbincangan perlu diadakan dari peringkat tentera, polis dan perisikan dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Kalau ada kepantasan kita runding, tunjuk kesungguhan kita (menyelesaikan isu di selatan Thailand),” katanya.

Rundingan telah diadakan antara kerajaan dan kumpulan pemberontak sejak 2013, namun ia terhenti apabila tentera mengambil alih pentadbiran Thailand setahun kemudian. Perbincangan kemudiannya diteruskan tanpa penglibatan pihak utama, termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Jeneral Wanlop Rugsanoah mengetuai panel untuk dialog damai di wilayah paling selatan di Thailand (PEDP).

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.