ad
AGENDA

Pinda garis panduan, LPF pelawa penggiat industri kreatif sertai libat urus

9 Feb 2023, 3:18 PM
Pinda garis panduan, LPF pelawa penggiat industri kreatif sertai libat urus

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Lembaga Penapis Filem (LPF) mempelawa penggiat industri kreatif menyertai sesi libat urus bagi memberi maklum balas mereka mengenai pindaan Garis Panduan LPF yang diusahakan sejak dua tahun lepas.

Pengerusi LPF Datuk Mohd Dusuki Ya'acob berkata maklum balas itu penting agar LPF dapat memperbaiki mutu perkhidmatan mereka agar sesuai dengan kehendak semasa industri kreatif seiring dengan peredaran zaman dan situasi semasa.

Beliau berkata kali terakhir Garis Panduan LPF dipinda ialah pada 2010.

"Kini Garis Panduan LPF sudahpun berada di peringkat akhir. Bagaimanapun, kita masih memerlukan input dan maklumat daripada industri untuk menambah baik Garis Panduan sedia ada.

"Kita bersikap terbuka untuk mendengar semua pandangan mereka... dan kita hendak tahu apa yang mereka mahukan dalam Garis Panduan baharu. Dari situ, baru akan wujud persefahaman bersama," katanya kepada pemberita selepas Taklimat LPF Berkenaan Dengan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 di sini hari ini.

Lebih 100 penggiat industri kreatif tempatan hadir dalam sesi taklimat itu untuk mendengar lebih lanjut mengenai pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 yang berkuat kuasa 1 Feb lepas.

Mohd Dusuki juga berkata selepas memperoleh semua pandangan daripada industri, LPF akan mengadakan satu lagi sesi libat urus bersama mereka sebelum pindaan itu dibawa kepada pengurusan dan Kementerian Dalam Negeri untuk pengendorsan.

Bagaimanapun, beliau berkata garis panduan yang digubal masih mengekalkan empat tonggak utama iaitu keselamatan, agama, bangsa dan budaya.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.