ad
EXCO

EXCO: Langkah baharu cegah banjir diumum dalam masa terdekat

2 Feb 2023, 11:36 AM
EXCO: Langkah baharu cegah banjir diumum dalam masa terdekat

KUALA LANGAT, 2 FEB: Beberapa langkah baharu bagi menambah baik pengurusan banjir dan jaminan sumber air mentah Selangor akan diumumkan dalam masa terdekat, kata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim.

Beliau berkata cadangan berkenaan akan dibentangkan dalam bengkel bulan ini yang disertai semua pemegang taruh berkaitan menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

"Kita akan buat bengkel bulan ini. Ketika ini kita sedang tunggu laporan terakhir daripada River Care iaitu perunding yang dilantik oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) yang ada kajian menarik dan boleh menjadi nilai tambah kepada pengurusan banjir atau pengurusan sumber air Selangor.

"Yang ini unik dan tidak ada pada negeri lain. Selepas bengkel saya akan buat sidang media untuk terangkan langkah-langkah baharu kita ingin laksanakan," katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak pembinaan jejambat Bandar Saujana Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata antara perkara yang menjadi perhatian adalah pengurusan banjir yang berkait rapat dengan peningkatan kepanasan bandar yang luar biasa.

"Kepanasan bandar luar biasa akan menyebabkan hujan tempatan yang tinggi. Jika dulu ada dua cara untuk air hujan dialirkan iaitu 50 peratus diserap ke bumi dan 50 peratus lagi adalah di permukaan yang mengalir ke longkang.

"Tetapi disebabkan kepanasan bandar termasuk akibat pembangunan, konkrit serta tar yang tidak mesra alam ia tidak boleh menyerap (ke bumi) dan perlu ke longkang yang mana sekarang ini 70 peratus sudah pergi ke longkang.

"Walaupun longkang dinaik taraf lama kelamaan ia tidak akan mampu menampung lagi. Jadi langkah baharu ini sebagai langkah pencegahan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.