ad
AGENDA

Kementerian Pertahanan sasar bina 40 rumah untuk veteran ATM

2 Feb 2023, 7:42 AM
Kementerian Pertahanan sasar bina 40 rumah untuk veteran ATM

KAJANG, 2 FEB: Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk membina sebanyak 40 buah rumah di seluruh negara tahun ini menerusi Projek Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sasaran itu dilihat mampu dicapai berdasarkan pencapaian tahun lepas iaitu 25 rumah telah berjaya dibina.

Beliau berkata kos pembinaan rumah berkeluasan 850 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan sebuah bilik air itu dianggarkan berjumlah RM85,000 dan projek itu dijalankan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad.

"Untuk tahun ini kementerian mahu menyiapkan sebanyak 40 buah rumah yang mana ia diberikan secara percuma kepada veteran ATM yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai tanah sendiri.

"Jika tanah berkenaan mempunyai banyak pemilik atau milik anggota keluarga yang lain, ia memerlukan persetujuan bertulis daripada semua individu berkaitan," katanya kepada pemberita selepas melawat Koperal (bersara) Sarafuddin Suhaimi di kediamannya di Taman Semarak, di sini, hari ini.

Sarafuddin, 62, merupakan veteran ATM daripada pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja yang kehilangan kaki kanannya semasa menjalankan Operasi Gubir pada 1985.

Beliau yang bersara pada 2002 kini menghidap kanser usus tahap dua serta ketumbuhan pada paru-paru.

Dalam pada itu, Adly berkata pihaknya sentiasa menjaga kebajikan veteran ATM menerusi program-program bantuan kerajaan.

".. tiada pihak yang terpinggir dan usaha-usaha seumpamanya akan dipergiat dan diperluas dalam memastikan setiap khidmat bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan mendapat pengiktirafan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang merangka program dermasiswa untuk disalurkan kepada anak-anak veteran ATM yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. - BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.