ad
BERITA UTAMA

Akademi Literasi al-Quran tawar tujuh program pengajian tahun ini

29 Jan 2023, 9:07 AM
Akademi Literasi al-Quran tawar tujuh program pengajian tahun ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 29 JAN: Akademi Literasi al-Quran Selangor menawarkan tujuh program kepada pelajar yang mengikuti pengajian di bawah kendaliannya tahun ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata program berkenaan ialah talaqi al-Quran, taranum, syariah, Bahasa Arab, takhasus qiraat, hafazan al-Quran dewasa dan asas al-Quran kanak-kanak.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni, talaqi al-Quran dibahagi kepada empat peringkat iaitu asas (semua lokasi), menengah (semua lokasi), lanjutan dan lanjutan tinggi (masjid negeri).

“Program lain iaitu taranum, syariah dan Bahasa Arab yang diajar pada peringkat asas hanya ditawarkan di masjid negeri sahaja.

“Manakala program takhasus qiraat, hafazan al-Quran dewasa dan asas al-Quran kanak-kanak juga hanya ditawarkan di masjid negeri,” katanya ketika dihubungi.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan Akademi Literasi al-Quran bagi melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan mempersenikan kitab suci.

Akademi itu dilancarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M.

Seramai 60 pensyarah dilantik bagi memberdaya pembacaan al-Quran berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.