ad
AGENDA

Selangor Saring dianjur 18 Februari, lebih banyak pemeriksaan termasuk sesi fisioterapi

27 Jan 2023, 9:17 AM
Selangor Saring dianjur 18 Februari, lebih banyak pemeriksaan termasuk sesi fisioterapi

SHAH ALAM, 27 JAN: Pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring diadakan pada 18 Februari depan sempena penganjuran program Jelajah Selangor Penyayang (JSP).

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata untuk fasa kali ini, beberapa saringan lain ditambah antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.

“Selain daripada itu, kita turut menjalin kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahir mengendalikan penyakit kanser serviks. Mereka terlibat dengan proses saringan berkenaan.

“Dalam masa sama, kita turut adakan pameran kesihatan untuk menyampaikan info bermanfaat kepada peserta dan pengunjung JSP. Pameran juga melibatkan jabatan kesihatan negeri. Bagaimana lokasi belum diputuskan,” katanya ketika dihubungi.

Tahun lalu Kerajaan Negeri memperkenalkan skim Selangor Saring bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal.

Program dari Mei hingga September itu melibatkan peruntukan RM3.4 juta menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Sepanjang tempoh itu lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.