ad
AGENDA

Banjir: Tiga jalan di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan

24 Jan 2023, 1:44 PM
Banjir: Tiga jalan di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan

KOTA TINGGI, 24 JAN: Sebanyak tiga jalan di daerah Kota Tinggi telah ditutup untuk kenderaan ringan kerana dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil berkata ketiga-tiga jalan melibatkan Jalan Ladang Siang, Jalan Lok Heng-Sungai Mas dan Jalan Perani.

“Bagaimanapun, tiada jalan utama ditutup setakat ini dan hanya tiga laluan itu sahaja ditutup untuk kenderaan ringan.

“Sebenarnya banjir kali ini adalah kerana pertembungan hujan berterusan sejak malam tadi dan air pasang, jadi kita sentiasa memantau dan bersiap sedia,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Taman Desaru Utama di sini.

Seorang penduduk Md Johari Dol, 67, berkata banjir kali ini menyaksikan paras air meningkat mendadak susulan hujan lebat sejak malam tadi di daerah itu.

“Masuk ni sudah tiga kali kami terjejas banjir, tetapi kali ini paling teruk sebab air laju dan cepat naik sampai masuk ke dalam rumah, ada yang paras lutut dan peha, kalau di jalan luar pula paras pinggang.

“Mungkin antara punca banjir sebab ada taman perumahan baharu berdekatan sekali gus menyebabkan air terus mengalir dan berkumpul ke sini,” kata bapa kepada enam anak itu.

Zaleha Abdul Rahman, 36, yang tinggal di perumahan itu sejak sembilan tahun lepas pula berkata rata-rata penduduk sudah bersiap sedia dan menjangkakan banjir berlaku.

“Kita memang sentiasa bersedia sebab Jabatan Meteorologi Malaysia juga sudah mengeluarkan amaran hujan lebat dan mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan ke PPS,” kata suri rumah itu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.