ad
AGENDA

Bah di Johor: Jumlah mangsa meningkat 1,093 orang, 13 PPS dibuka

24 Jan 2023, 10:20 AM
Bah di Johor: Jumlah mangsa meningkat 1,093 orang, 13 PPS dibuka

JOHOR BAHRU, 24 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,093  orang setakat 4 petang ini berbanding 422 mangsa yang direkodkan pada pukul 2 petang tadi, susulan hujan lebat yang turun tidak henti-henti sejak awal pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (PPBN) memaklumkan lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka menjadikan kesemuanya 13 PPS di Daerah Kluang, Segamat dan Kota Tinggi.

“Segamat merupakan daerah paling teruk terjejas dengan 975 mangsa daripada 273 keluarga, yang ditempatkan di lapan PPS.

Bagi Daerah Kluang pula, seramai 75 orang daripada 19 keluarga dipindahkan ke empat PPS sementara 43 penduduk daripada enam keluarga di Daerah Kota Tinggi dipindahkan ke sebuah PPS,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, petang ini.

Menurut jawatankuasa itu juga, setakat ini tiada jalan yang ditutup di negeri ini dengan kesemuanya masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai di Johor telah melepasi paras berbahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.04 meter (m), Sungai Lenik (Ladang Chaah) di paras 6.4m, Sungai Segamat (Segamat Kecil) di paras 37.97m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) di paras 14.41m.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.