ad
AGENDA

Op Selamat 19: 58 kematian direkodkan selepas empat hari pelaksanaan

22 Jan 2023, 2:07 PM
Op Selamat 19: 58 kematian direkodkan selepas empat hari pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Sebanyak 52 kemalangan maut melibatkan 58 kematian direkodkan di seluruh negara setakat empat hari pelaksanaan Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman DCP Mohd Nasri Omar berkata daripada jumlah kematian itu, 38 membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, pemandu dan penumpang kereta (14), pemandu dan penumpang lori (tiga), pejalan kaki (dua) serta satu pemandu jip.

“Seramai 33 individu dilaporkan parah manakala 250 lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mengenai jumlah keseluruhan kemalangan, Mohd Nasri berkata 7,180 kes direkodkan yang melibatkan 9,198 kenderaan dan 9,653 saman atas enam kesalahan lalu lintas utama dikeluarkan.

Menurutnya kesalahan paling banyak adalah melanggar lampu isyarat iaitu 3,250 saman, memandu melebihi had laju (2,785) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (1,316).

“Selain itu, 1,183 saman dikeluarkan atas kesalahan memotong barisan, memotong di garisan berkembar (692) dan memandu di lorong kecemasan (427),” katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko kemalangan.

Op Selamat 19 dilaksanakan 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Januari ini secara serentak di seluruh negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.