ad
AGENDA

Lebih 100 kenderaan dikesan, dirakam guna lorong kecemasan dalam tempoh empat jam

21 Jan 2023, 10:07 AM
Lebih 100 kenderaan dikesan, dirakam guna lorong kecemasan dalam tempoh empat jam

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Lebih 100 kenderaan dikesan dan dirakam melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari Johor Bharu ke Putrajaya dari jam 10 pagi hingga 2 petang tadi.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan kesalahan itu dikesan melalui operasi pemantauan khas Tahun Baharu Cina 2023 yang dilaksanakan di lebuh raya berkenaan.

“JPJ ingin menegaskan bahawa kesalahan itu adalah antara tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Tujuh kesalahan itu ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

JPJ meminta orang ramai mematuhi peraturan jalan raya sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya kesesakan dan menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.

Sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui menu e-Aduan@jpj menerusi Aplikasi MyJPJ atau aduan e-mel JPJ [email protected].

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.