ad
AGENDA

PM: RM6 bilion mampu diselamatkan jika kelemahan dikemuka Laporan Ketua Audit Negara diperbaiki

19 Jan 2023, 9:49 AM
PM: RM6 bilion mampu diselamatkan jika kelemahan dikemuka Laporan Ketua Audit Negara diperbaiki

PUTRAJAYA, 19 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sebanyak RM5 hingga RM6 bilion dapat diselamatkan sekiranya kelemahan yang dikemukakan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) diperbaiki.

Berucap menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari ini, beliau berkata barisan Jemaah Menteri telah meneliti LKAN 2021 semalam dan mendapati terdapat kelemahan yang dilakukan secara berulang kali.

“Kalau dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya yakin RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan, itu dari LKAN,” katanya.

Semalam, Anwar mengarahkan Jemaah Menteri untuk mengambil serius dan meneliti setiap teguran LKAN 2021 tentang soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan keyakinan banyak lagi dana dapat diselamatkan khususnya melibatkan projek besar sekiranya pengurusan kerajaan dijalankan dengan teliti dan cekap.

"Daripada kajian projek besar dan termasuk kekuatan badan penguatkuasaan, sekiranya dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab saya yakin berbilion ringgit lagi boleh diselamatkan.

"Kalau kata dana kita kurang RM15 bilion, pengurusan yang cekap dan baik itu boleh menyelamatkan RM15 bilion tanpa projek, ikhtiar dan inisiatif baharu," katanya. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.