ad
AGENSI

Yide hulur bantuan kepada keluarga mangsa terkorban dalam kebakaran

5 Jan 2023, 4:28 AM
Yide hulur bantuan kepada keluarga mangsa terkorban dalam kebakaran
Yide hulur bantuan kepada keluarga mangsa terkorban dalam kebakaran

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 5 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memberi sumbangan kecemasan kepada keluarga kehilangan dua beradik yang terkorban dalam kebakaran di Gombak, Isnin lalu.

Agensi itu berkata bantuan diberikan pada Selasa susulan kejadian malang mengorbankan Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, di sebuah rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga itu telah meruntum jiwa rakyat Malaysia.

"Sumbangan disampaikan kepada wakil keluarga iaitu datuk mangsa dikenali sebagai Kamal," katanya menerusi Facebook semalam.

Kamal menjelaskan ketika api marak arwah Syaza sempat menghubungi ibunya memaklumkan rumah terbakar dan itulah panggilan terakhir antara mereka sebelum dia serta Al Qayyum ditemui rentung di ruang bilik utama.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, Yide berharap kita sama-sama mendoakan agar kedua ibu bapa mereka terus diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian dan semoga dua beradik ini ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," ujarnya.

Dalam masa yang sama, anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu turut menziarah dan menyerahkan sumbangan kecemasan serta pek kasih Yide kepada dua unit rumah yang turut terkesan akibat kebakaran tersebut.

"Alhamdulillah, sumbangan Yide diserahkan kepada golongan sasar yang terkesan dan kepada orang awam yang hendak bersama membantu mangsa musibah boleh terus menyalurkan sumbangan di https://pay.infaqyide.com.my/.../yayasan.../infaqdanamusibah," ujarnya.

Mewakili Yide dalam menyerahkan sumbangan kecemasan dan pek kasih itu adalah Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan Md Arifin Jaafar dan Eksekutif Kebajikan Muhammad Zubair Azizan.

Dalam kebakaran kira-kira 3 pagi itu, Syaza dan Al Qayyum meninggal dunia dalam keadaan rentung di rumah mereka.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.