ad
AGENDA

Jurulatih tampar dua pemain bola tampar remaja wanita digantung

2 Jan 2023, 12:56 AM
Jurulatih tampar dua pemain bola tampar remaja wanita digantung

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Seorang jurulatih yang didakwa menampar dua pemain remaja perempuan telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya juga mengambil langkah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.

"Mava sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Mava," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan. Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat tindakan jurulatih itu.

Beliau berkata laporan penuh berkenaan isu itu akan menyusul dan kementeriannya turut memohon saksi untuk tampil bagi memberi keterangan.

“Tekad mewujudkan Sekolah Selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter rasminya malam tadi.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.