ad
AGENDA

Tourism Selangor tingkat usaha pikat pelancong, kekal destinasi pilihan

1 Jan 2023, 8:06 AM
Tourism Selangor tingkat usaha pikat pelancong, kekal destinasi pilihan

SHAH ALAM, 1 JAN: Tourism Selangor berazam mengekalkan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara pada 2023, seperti direkodkan tahun-tahun terdahulu.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, pelbagai inisiatif bakal dilaksana menggunakan dana RM6 juta diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2023 termasuk RM114.6 juta melalui pakej rangsangan ekonomi bagi mengekalkan prestasi itu.

Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya akan memperkasa promosi kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dan “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!” selain profil pelancongan antarabangsa negeri.

“Kita juga akan meningkatkan kerjasama dengan pakar dan pemain industri pelancongan yang mempunyai akses kepada strategi perniagaan inovatif dan prospek terbaharu.

“Konvensyen Antarabangsa Tourism Selangor 2023 akan diadakan dengan menumpukan pameran pelancongan menggunakan konsep perniagaan kepada pelanggan (B2C),” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejayaan mengalih 90 peratus usaha promosi pelancongan melalui rangkaian digital, Azrul menambah pihaknya akan meningkatkan lagi kempen secara maya sejajar Pelancongan 4.0 dan revolusi industri 4.0 (IR4.0).

“Semua inisiatif ini dirangka selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

“Tourism Selangor akan berusaha menerokai peluang lebih baik dan mencapai matlamat sebagai pemain utama dalam industri pelancongan,” katanya.

Untuk rekod, Selangor menerima jumlah kedatangan pelawat seramai 10.2 juta sebaik pintu sempadan negara dibuka pada 2021, tertinggi berbanding negeri lain.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.