ad
AGENDA

Penduduk merungut gerai di rizab jalan di Puchong Permai ganggu lalu lintas

23 Dis 2022, 12:30 PM
Penduduk merungut gerai di rizab jalan di Puchong Permai ganggu lalu lintas
Penduduk merungut gerai di rizab jalan di Puchong Permai ganggu lalu lintas

SHAH ALAM, 23 DIS: Rungutan penduduk setempat terhadap penjaja di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong antara punca gerai mereka diroboh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata banyak aduan diterima termasuk kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan terhadap peniaga berkenaan, sebahagiannya dikesan menyewakan tapak kepada penjaja lain.

Beliau menjelaskan penduduk sekitar kawasan tersebut juga menuduh MBSJ tidak tegas dalam mengambil tindakan terhadap penjaja tersebut meskipun beberapa tindakan diambil sejak 2020.

“Kita ambil tindakan atas pelbagai aduan seperti gangguan trafik dan masalah kebersihan. Akhirnya, kita terpaksa kuat kuasa tindakan perobohan yang telah beberapa kali tertangguh sebelum ini,” katanya kepada Selangorkini.

Rabu lalu, MBSJ meroboh 25 binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu jalan berkenaan dan menawarkan tapak niaga di medan selera bersebelahan Dataran Niaga Puchong Permai.

Johary percaya perniagaan mereka tidak terjejas berikutan pelbagai kemudahan disediakan di situ yang terletak hanya 300 meter dari tapak asal pada kadar sewa petak berpatutan.

“Amat dekat. Saya rasa ia tidak akan menjejaskan perniagaan mereka kerana pelanggan terdiri daripada penduduk setempat.

“Malah, kemudahan di situ juga lebih baik kerana ada banyak tempat letak kenderaan yang menjamin keselesaan pengunjung,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.