ad
AGENDA

Mohamad Faisal perkuat Gergasi Merah hadapi saingan Liga Malaysia musim depan

22 Dis 2022, 2:19 PM
Mohamad Faisal perkuat Gergasi Merah hadapi saingan Liga Malaysia musim depan

SHAH ALAM, 22 DIS: Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim atau ‘Mickey’ sah menyertai skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam kenyataan melalui portal rasminya memaklumkan Mohamad Faisal, 24, merupakan pemain terbaharu ketiga dipilih menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu selepas Ahmad Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran.

Menerusi kenyataan yang sama, Mohamad Faisal berkata beliau mahu menjadi watak penting dalam pasukan merah kuning, selain memberikan yang terbaik bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan tersebut.

"Selangor FC adalah satu pasukan yang besar, semua orang mengenali dan ingin bermain untuk kelab ini. Alhamdulillah, saya sudah sampai ke laman Gergasi Merah kerana ini yang ditunggu-tunggu,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Faisal pernah beraksi bersama skuad Penang FC dan Sri Pahang FC, seterusnya disunting Sang Penyu pada 2020 bagi menjadi tonggak utama skuad tersebut.

Prestasi baik pemain sayap itu membolehkan beliau dipanggil menganggotai pasukan utama Harimau Malaya pada 2019 dan menjadi pemain pilihan sehingga kini.

Semalam, Mohamad Faisal menjaringkan gol tunggal kemenangan untuk pasukan kebangsaan ketika menentang Myanmar (1-0) dalam perlawanan pembukaan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.