ad
AGENDA

MPHS keluar 25 notis tutup sementara tapak perkhemahan berisiko bencana

17 Dis 2022, 5:12 AM
MPHS keluar 25 notis tutup sementara tapak perkhemahan berisiko bencana

BATANG KALI, 17 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan 25 notis penutupan sementara selama tujuh hari kepada tapak perkhemahan berisiko dilanda bencana di sekitar Hulu Selangor.

Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd berkata tindakan itu diambil susulan arahan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam, agar semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

"MPHS telah mengeluarkan 25 notis kepada kawasan tapak perkhemahan yang berisiko di tepi sungai dan cerun sekitar Hulu Selangor.

"Ada (tapak perkhemahan) tidak berlesen, bagaimanapun ia dalam proses pemutihan dan kita mengarahkan supaya semua kawasan inap desa ini dilesenkan mengikut prosedur pelesenan," katanya pada sidang media di lokasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di sini hari ini.

Semalam, Nga mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.

Nga berkata arahan sudah dikeluarkan kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula hari ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.